MELAKA — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding menggunakan logo rasmi parti itu sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang dijadualkan berlangsung pada 14 November ini.
Media melaporkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau telah menghantar surat rasmi mengenai pengesahan penggunaan logo berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada minggu lepas selepas mendapat kelulusan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kita akan gunakan logo Bersatu. Saya telah menghantar surat kepada SPR dan penggunaan logo Bersatu telah dibenarkan oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon Bersatu di Klebang, malam tadi.
Pada majlis berkenaan, Naib Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Negeri Melaka Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan partinya akan bertanding di lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Gadek, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Bersatu berkata, kesemua lapan kerusi yang ditandigi Bersatu pada PRN Melaka dilihat berpotensi dimenangi oleh parti itu.
Menurut beliau, walaupun Bersatu dijangka bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) di empat kerusi yang ditandingi, iaitu di Kelebang (PKR) serta Gadek, Ayer Keroh dan Pangkalan Batu (DAP), namun pihaknya menyerahkan kepada kebijaksaan rakyat Melaka untuk membuat pemilihan.
“Dalam konteks pilihan raya, pertindihan atau pertembungan bermakna parti terlibat akan bersaing, tetapi kita mengambil pendirian persaingan itu adalah persaingan yang sihat dalam sebuah sistem demokrasi.
“Kita tidak akan mengamalkan gutter politic ataupun fitnah, kita akan menawarkan dasar-dasar parti..kita parti yang prihatin rakyat, kita bawa isu ekonomi, isu pertumbuhan dan penjanaan pekerjaan,” katanya.-MalayaDailyToday


















































