KUALA LUMPUR – Sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, adalah menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Istana Negara dalam satu kenyataan, pada 18 September lalu, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya telah meneliti petisyen Najib di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Mesyuarat Lembaga Pengampunan yang turut dihadiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Peguam Negara, telah memberikan nasihat yang sewajarnya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Katanya, selanjutnya, Seri Paduka Baginda telah memerintahkan bahawa Najib menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah, tertakluk kepada syarat iaitu sekiranya membayar denda RM50 juta.
“Perintah pengampunan bersyarat ini adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti, serta tidak terkait dengan mana-mana kes lain terhadap beliau.
“Tidak sepatutnya timbul kekeliruan tafsiran dan tidak sepatutnya menyebabkan ketidakpastian berpanjangan terhadap pelaksanaan keputusan yang telah diperkenankan,” jelas Istana Negara.
Istana Negara turut menegaskan, kuasa pengampunan merupakan prerogatif Diraja yang diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Pelaksanaan kuasa berkenaan hendaklah dihormati selaras dengan kedudukan Raja Berperlembagaan dan prinsip kedaulatan undang-undang.
“Memandangkan semua syarat di dalam perintah pengampunan bersyarat itu telah dipenuhi, sebarang hujah mempertikaikan perintah tersebut adalah menjurus ke arah mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.
Katanya, penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa `menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta’ dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.-MalayaDailyToday






















































