KUALA LUMPUR – Kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang terletak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini secara rasmi diisytiharkan sebagai suatu penjara bagi tujuan pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah.
Perisytiharan berkenaan dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengikut peruntukan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537].
Dokumen rasmi itu termaktub dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh hari ini, yang disiarkan menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut warta itu, kawasan yang diisytiharkan merangkumi semua bangunan dan kawasan tanah dengan keluasan 4558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537], Menteri mengisytiharkan semua bangunan dan kawasan dengan keluasan 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, 50480 Kuala Lumpur yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai suatu penjara bagi maksud Akta bagi pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah,” menurut warta itu.
Perisytiharan itu berkuat kuasa pada tarikh ia dimeterai iaitu hari ini.
Terdahulu, media melaporkan UMNO mengesahkan sudah menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai syarat Najib menjalani tahanan rumah.
Bagaimanapun, AGC menerusi kenyataan memaklumkan pihaknya menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan rumah Najib bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.
Jelas AGC, penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa `menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta’ dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.-MalayaDailyToday




















































