KOTA TINGGI – Seorang peneroka maut selepas ditetak oleh seorang lelaki yang mengamuk bersenjatakan sebilah kapak dalam kejadian di Felda Lok Heng Selatan di sini, petang semalam.
Media melaporkan dalam insiden berlaku kira-kira pukul 7.30 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas diserang suspek yang melarikan diri dari lokasi kejadian menaiki sebuah motosikal.
Menurut sumber, penduduk kampung tidak berani mendekati atau campur tangan ketika kejadian berlaku berikutan suspek berada dalam keadaan agresif sambil memegang senjata berkenaan.
“Kejadian berlaku di tepi jalan dekat rumah suspek.
“Orang kampung tak berani bertindak kerana suspek memegang kapak dan sedang mengamuk,” kata sumber berkenaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman mengesahkan insiden terbabit.
Yusof berkata kenyataan rasmi berhubung kes berkenaan akan dikeluarkan esok memandangkan siasatan lanjut sedang dijalankan.-MalayaDailyToday





















































