KUALA LUMPUR – Peguam Negara memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung perintah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Tun Razak.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu bertujuan untuk memohon ampun dan menzahirkan pendiriannya untuk mematuhi titah Seri Paduka Baginda.
“Peguam Negara juga akan menjelaskan persoalan perundangan yang timbul daripada Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi susulan pembayaran denda RM50 juta, dan perlu diputuskan oleh mahkamah kerana ia memberi kesan kepada tarikh permulaan hukuman penjara dalam kes 1MDB,” jelas kenyataan itu yang dimuat naik di Facebook Pejabat Perdana Menteri.
Terdahulu, Istana Negara menerusi kenyataan menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib untuk menjalani baki hukuman pemenjaraan secara tahanan di rumah selepas membayar denda RM50 juta, adalah menjurus kepada perbuatan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Jelas kenyataan itu, semua syarat dalam perintah pengampunan bersyarat itu sudah dipenuhi dan pelaksanaannya tidak sepatutnya menimbulkan kekeliruan atau ketidakpastian berpanjangan.
Titah itu turut menegaskan perintah pengampunan berkenaan adalah jelas, nyata dan tanpa sebarang ambiguiti serta tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain dihadapi Najib.-MalayaDailyToday
























































