KUALA LUMPUR – Dua rakyat Malaysia yang cedera ringan akibat Taufan Champi di Taiwan kini berada dalam keadaan stabil dan sedang dirawat di hospital berasingan.
Bernama melaporkan Presiden Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei (MFTC) Bong Yik Jui berkata, kedua-dua individu yang berusia 57 tahun itu menerima rawatan di Hospital Dali Jen Ai di Taichung dan Hospital Miaoli Daqian di Miaoli.
“Kami menghubungi kedua-dua individu secara berasingan dan mengesahkan mereka berada dalam keadaan stabil,” katanya.
Tambahnya, seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar daripada hospital.
Bong berkata, MFTC akan memantau dengan teliti perkembangan berkaitan Taufan Champi terutama implikasi terhadap keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Taiwan.
“MFTC akan terus mengekalkan komunikasi dengan komuniti rakyat Malaysia melalui saluran komunikasi sedia ada,” katanya.
Menurut laporan media, Taufan Champi melanda Taiwan pada Sabtu, menyebabkan seorang maut dan lebih 500 cedera, merosakkan ratusan bangunan, menjejaskan bekalan elektrik dan memaksa penerbangan dibatalkan.
Sehingga Ogos tahun ini, terdapat 34,833 rakyat Malaysia di Taiwan termasuk 7,615 pelajar melanjutkan pelajaran di sana.
Bong menyeru rakyat Malaysia yang berada di Taiwan supaya memantau nasihat cuaca tempatan dan mematuhi arahan keselamatan serta arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular atau mereka yang mempunyai maklumat mengenai warganegara Malaysia lain yang mungkin memerlukan bantuan di kawasan yang terjejas, digesa menghubungi MFTC di Taipei pada talian +886 972 349 343 atau menerusi e-mel mwtaipei@kln.gov.my.
Bong juga meminta rakyat Malaysia di Taiwan supaya mendaftar dan sentiasa mengemas kini butiran hubungan mereka menerusi portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my bagi memudahkan komunikasi dan bantuan konsular tepat pada masanya, khususnya semasa kecemasan.
Beliau turut menggalakkan rakyat Malaysia mengikuti saluran media sosial MFTC untuk mendapatkan maklumat terkini dan nasihat.
MFTC berfungsi sebagai pejabat perwakilan rasmi Malaysia di Taipei yang melaksanakan fungsi konsular sama seperti misi diplomatik dan konsular Malaysia di luar negara termasuk memberikan bantuan dan sokongan kepada rakyat Malaysia di Taiwan.-MalayaDailyToday




















































