KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September 2026.
AGC menerusi kenyataan memaklumkan penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung interpretasi frasa `menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta’ dan kesannya terhadap baki hukuman penjara bagi kes SRC International.
Berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat tersebut, Najib diperkenankan untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau menyelesaikan pembayaran denda sebanyak RM50 juta serta pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan.
“Terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut. Pertama ialah pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028.
“Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara.
“Interpretasi kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan bahawa keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai,” jelas kenyataan itu.
Menurut AGC, persoalan itu turut melibatkan kesan undang-undang Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur setelah pembayaran denda RM50 juta direkodkan.
“Perintah tersebut mengarahkan supaya Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa yang sama menyatakan bahawa baki hukuman hendaklah dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat,” katanya.
Selain itu, kata AGC, persoalan mengenai status baki hukuman penjara bagi kes SRC International turut mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan hukuman penjara ke atas Najib bagi kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, ini khususnya berhubung perintah mahkamah yang menetapkan bahawa hukuman bagi kes 1MDB hendaklah bermula selepas selesai hukuman penjara bagi kes SRC International.
“Perkara itu juga perlu diteliti mengambil kira permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman (stay of execution) bagi kes 1MDB yang telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 14 Oktober 2026,” katanya.
AGC berpandangan penjelasan undang-undang yang jelas dan muktamad perlu diperoleh sebelum tindakan pelaksanaan selanjutnya diambil memandangkan isu-isu yang dibangkitkan melibatkan persoalan perundangan yang kompleks, mempunyai implikasi terhadap pelaksanaan titah pengampunan dan perintah mahkamah, serta merupakan suatu keadaan yang belum pernah dihadapi sebelum ini.-MalayaDailyToday



















































