September 6, 2024
#MAHKAMAH / JENAYAH

Mahkamah Rayuan benarkan rayuan kebocoran maklumat sulit NFCorp terhadap Public Bank

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp) dan tiga lagi berhubung kebocoran maklumat sulit akaun bank mereka terhadap Public Bank Bhd hari ini.

Tiga panel hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Azizah Nawawi bersama-sama Datuk P. Ravinthran dan Datuk S. Nantha Balan sebulat membenarkan permohonan itu.

Ketika membacakan penghakiman ringkas, kata hakim Nantha Nalan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah terkhilaf apabila menolak saman tersebut.

“Terdapat salah nilai bukti serius yang sehingga adanya campur tangan Mahkamah Rayuan. Hakim Mahkamah Tinggi telah membelakangkan bukti penting.

“Ini termasuklah keterangan yang diberikan oleh Foo pada panel Inkuiri Dalaman dan tindakan yang diambil oleh pihak bank terhadap Johari. Dengan ini, kami benarkan rayuan perayu atas liabiliti berkenaan,” katanya.

Mahkamah juga telah mengarahkan Public Bank membayar ganti rugi nominal sebanyak RM10,000 dan kos sebanyak RM500,000.

Untuk makluman, Foo atau Veronica Foo merupakan Ketua Siasatan Audit Public Bank yang menyiasat mengenai kebocoran maklumat sulit sementara Johari Mohamed merupakan bekas kerani bank di Public Bank.

Dia yang bekerja di cawangan Jinjang yang didakwa sebagai individu yang mendedahkan maklumat sulit itu kepada Mohd Rafizi Ramli yang kini menjawat jawatan Menteri Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR.

Perayu kes ini terdiri daripada NFCorp dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohamad Salleh Ismail serta dua anak syarikatnya iaitu National Meat and Livestock Corporation Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan Real Food Company Sdn. Bhd yang diwakili peguam Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah.

Public Bank selaku responden diwakili peguam Poh Choo Hoe.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman tersebut selepas mendapati NFCorp, Mohamad Salleh dan dua lagi anak syarikatnya, gagal membuktikan kes itu terhadap Public Bank berdasarkan imbangan kebarangkalian pada Julai 2019.

Perayu mendakwa reputasi dan kebolehpercayaan perniagaan mereka terjejas berikutan pelanggaran Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) oleh bank itu. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *