September 4, 2024
#UTAMA

Usah terpedaya dengan skim pelaburan hartanah palsu – Hajiland Berhad Azlan

KUALA LUMPUR – Hakikatnya sejak pandemik Covid-19, situasi kewangan tidak stabil menyebabkan segelintir masyarakat sanggup mengambil risiko sehingga menyertai pelbagai skim ‘cepat kaya’ hartanah kononnya mendapatkan pulangan besar.

Bagaimanapun pulangan dijanjikan tidak juga kunjung sebaliknya menjadi mangsa penipuan ‘scammer’ yang kini berleluasa di seluruh negara malah saban hari ratusan aduan direkodkan berhubung ejen hartanah atau skim pelaburan tidak wujud.

Jutawan hartanah terkenal, Datuk Mohamad Azlan Al Amin menitipkan kata-kata nasihat buat masyarakat umum khasnya yang meminati dunia hartanah ketika ini.

Syarikat beliau Hajiland Berhad yang berkecimpung dalam dunia hartanah juga berdepan dengan pelbagai situasi gara-gara umum mempunyai stigma berhubung pelaburan ini.

“Bila kewangan tidak stabil lagi-lagi selepas Covid-19, ramai menjadi bimbang sehingga menyertai pelbagai skim terutamanya dalam bidang hartanah tanpa usul periksa, ini juga mengakibatkan kerugian dan kekecewaan kerana menjadi mangsa penipuan wang bukan sedikit tapi cukup banyak.

“Ada yang sanggup berhabis wang simpanan termasuklah dalam KWSP semata-mata mahu kembalikan kestabilan kedudukan kewangan mereka, kita semua berada dalam situasi yang sama, semua hendak kewangan stabil.

“Tetapi saya ingin menasihati semua di luar sana, hati-hatilah dengan pelaburan hartanah tidak wujud, pastikan mereka semua ini mempunyai lesen sah serta berkelayakan. Buat penelitian, selidik sebelum sesekali terlibat dengan pelaburan hartanah.

“Saya secara peribadi juga berdepan dengan pelbagai tohmahan yang menjejaskan perniagaan hartanah saya gara-gara wujudnya scammer seperti ini. Adakalanya saya terpaksa menyaman pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini mahu membersihkan nama serta imej saya dan syarikat,” katanya hari ini.

Kata Mohamad Azlan lagi, pembeli dan pelabur boleh mengubah keadaan dengan membuat pernilaian bijak sebelum membuat apa-apa pelaburan selepas ini.

“Kita ada teknologi, pihak berwajib juga ada menyediakan platform untuk kita semak dan sahkan syarikat, lesen dan sebagainya. Gunakan semua itu dengan bijak, juga buat ‘background check’, semak betul-betul. Kita sendiri perlu menjadi pelanggan bijak, semak hartanah itu wujud atau sebaliknya.

“Janganlah sesekali terperangkap dengan ‘scammer’ disebabkan terlalu tertarik dengan keuntungan yang bakal diraih sehingga bersetuju untuk membuat pelaburan berkenaan tanpa memikirkan sebarang risiko bakal dihadapi,” ujarnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday