KUCHING – Seorang guru wanita cedera selepas dipercayai diserang seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak.
Media melaporkan Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan senjata yang ditemukan merupakan pisau kecil jenis penknife dan juga kapak kecil.
“Butiran lanjut berhubung kejadian itu akan disampaikan Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, tular rakaman video memaparkan seorang pelajar bertindak menyerang individu wanita yang dipercayai gurunya.
Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menerima maklumat mengenai insiden itu menerusi talian MERS 999 kira-kira pukul 8.03 pagi.
Sementara itu, Saifullizan memaklumkan pelajar berkenaan ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan 1957.
“Polis sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti keseluruhan punca kejadian dan mendapatkan bukti berkaitan,” katanya.-MalayaDailyToday
























































