KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang risiko keselamatan yang melibatkan Israel.
Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan, perlindungan data rakyat dan kedaulatan maklumat negara mesti sentiasa diutamakan, termasuk dalam menilai implikasi penggunaan aplikasi yang tertakluk kepada undang-undang serta bidang kuasa Israel.
Kata MKN, kerajaan memandang serius pengumpulan data lokasi, pergerakan, perjalanan serta maklumat peranti pengguna oleh aplikasi navigasi Waze.
“Ia khususnya apabila Terma Penggunaannya memperuntukkan pemakaian undang-undang Israel serta bidang kuasa mahkamah rejim itu bagi pertikaian berkaitan penggunaan perkhidmatannya,” katanya hari ini.
Menurut MKN, maklumat lokasi dan corak pergerakan pengguna merupakan data sensitif yang memerlukan perlindungan sewajarnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan urusan rasmi serta kepentingan strategik negara.
Katanya, kemudahan teknologi tidak boleh mengatasi tuntutan keselamatan negara.
“Sehubungan itu, penjawat awam dan rakyat Malaysia disaran beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), atau aplikasi tempatan lain yang bersesuaian.
“Bagi penjelasan lanjut, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) di bawah MKN telah menyediakan Soalan Lazim (FAQ) yang boleh dirujuk di menerusi laman sesawang agensi berkenaan,” katanya.-MalayaDailyToday

























































