October 18, 2024
#POLITIK

Tidak menang PRU namun Vigneswaran tetap tunai janji kepada pengundi Sungai Siput

IPOH – Presiden MIC yang juga merupakan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Sungai Siput, Tan Sri SA Vigneswaran tetap tampil menunaikan janji pilihan raya beliau walaupun kalah di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) lepas.

Menurut Setiausaha Agung MIC yang juga seorang peguam, RT Rajasekaran, Vigneswaran ketika berkempen di Sungai Siput pernah berjanji untuk membantu empat keluarga miskin yang tampil memohon bantuan bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu.

“Dua tahun lalu, beberapa orang individu dari kalangan empat keluarga ini telah ditangkap dan ditahan atas Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). Ketika itu, para penduduk ini memohon bantuan Presiden untuk bantuan guaman secara percuma.

“Hari ini saya telah dihantar oleh Presiden (Vigneswaran) untuk hadir membantu empat tertuduh. Walaupun beliau tidak menang kerusi di Sungai Siput namun janji beliau itu tetap menepati janjinya kepada keluarga-keluarga itu.

“Di hadapan Hakim, Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet, kesemua empat tertuduh itu dikenakan hukuman penjara lima tahun berkuatkuasa tarikh penangkapan pada tahun 2019. Kesemua keluarga tertuduh dapat menarik nafas lega dengan bantuan guaman yang telah MIC sediakan pada hari ini.

“Hakikatnya, tidak kira pilihan raya atau sebaliknya MIC tetap tampil membantu masyarakat khasnya dalam kalangan komuniti India tanpa sebarang retorik kerana kami bukan baru dalam perjuangkan isu-isu kebajikan dan kepentingan kaum India di negara ini sebaliknya sudah berpuluh-puluh tahun.

“Bagi Tan Sri Vigneswaran, beliau tetap peduli dan prihatin terutamanya terhadap pengundi di Sungai Siput yang pernah beliau dekati dan memahami keperitan mereka ini. Apapun, ingatlah MIC sentiasa prihatin,” katanya dalam Facebook beliau. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *