October 18, 2024
#BERITA

Saya akan bela diri di mahkamah – Khalid Ismath

KUALA LUMPUR – Bekas aktivis pelajar, Khalid Mohd Ismath yang ketika ini sedang berdepan dengan dakwaan mendera isteri mendedahkan dirinya akan menjawab serta membela dirinya di platform perundangan.

Kata Khalid, beliau tidak mahu menjawab kepada sesiapa pada masa ini memandangkan ianya sudah sampai ke peringkat mahkamah dan akan berdepan dengan isu subjudis.

Dalam catatan Facebook petang ini, Khalid berkata dia memilih untuk membela diri terhadap semua dakwaan isterinya di mahkamah.

“Selanjutnya, saya juga menyerahkan kepada kebijaksanaan mahkamah untuk mengadili kes ini. Kes ini baru sahaja disebut buat kali pertama.

“Saya berharap agar semua pihak dapat menghormati proses mahkamah yang saya yakini dapat berlaku adil kepada saya,” katanya.

Untuk makluman, pada 11 Mei lepas, isteri Khalid mendakwa suaminya itu menderanya secara seksual dan mental sepanjang perkahwinan mereka.

Wanita itu juga mendakwa suaminya telah ‘menggangu’ rakan sekerjanya.

Keesokan harinya, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor mengesahkan bahawa Khalid telah didakwa di mahkamah bulan lepas dan kes itu masih belum selesai di mahkamah.

Dia menambah bahawa polis menerima laporan daripada isteri Khalid pada 15 April, dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 23 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *