KUCHING – Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak sempat merakam video sebelum berlakunya kejadian seorang guru yang cuba merampas objek tajam daripadanya, semalam.
Media melaporkan rakaman video yang didakwa dibuat oleh pelajar terbabit sebelum kejadian turut tular di media sosial.
Bagaimanapun, motif dan kandungan sebenar video berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Menurut akaun Twitter terdapat dakwaan serangan itu di live stream di forum dan akaun itu disekat.
Dalam kejadian pagi semalam, pelajar terbabit dilaporkan membawa objek tajam berkenaan ke kawasan sekolah sebelum seorang guru bertindak cuba merampasnya.
Tindakan itu menyebabkan guru terbabit mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital.
Sejurus kejadian, pelajar berkenaan berjaya dikawal sebelum dibawa ke pejabat pengetua untuk tindakan lanjut.
Pihak polis kemudian tiba di sekolah dan mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar berkenaan turut dihubungi pihak sekolah.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak mengesahkan kejadian berkenaan, namun menafikan dakwaan bahawa suspek menggunakan kapak, sebaliknya menjelaskan senjata yang terlibat ialah sebilah pisau lipat.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap beg sekolah pelajar terbabit turut menjumpai satu lagi objek mencurigakan yang kini berada dalam kawalan pihak polis bagi siasatan susulan.
Menurutnya, tiada kecederaan lain dilaporkan dalam insiden itu dan sebagai langkah berjaga-jaga, pihak sekolah mengarahkan premis berkenaan ditutup sementara selain meminta ibu bapa mengambil anak masing-masing lebih awal.
Pada masa sama, pelajar yang berada berhampiran lokasi kejadian turut dipindahkan ke kawasan selamat bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.-MalayaDailyToday
























































