JOHOR BAHRU – Sebuah tapak pelupusan sampah berkeluasan 0.0232 hektar terletak di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, Pasir Gudang dilaporkan musnah dalam kebakaran malam tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang PBK I, Mohd Zuhdieyusni Said berkata, seramai 18 anggota serta jentera dari BBP Johor Jaya digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.04 malam.
Menurut beliau, setakat 3.17 pagi tadi, kebakaran merebak sehingga 500 kaki persegi dan menjejaskan kawasan berhampiran simpanan fiber melibatkan longgokan bongkah boya setinggi kira-kira 3 meter.
“Operasi pemadaman berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air di kawasan berdekatan.
“Anggota bergantung kepada pam angkut air laut dan berulang-alik ke pili bomba terdekat sejauh 3.5 kilometer untuk mengisi semula tangki jentera,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Zuhdieyusni mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden berkenaan.
Katanya, operasi pemadaman dan pengawalan sisa kebakaran dilaksanakan sejak pagi tadi.
Insiden berkenaan turut mendapat perhatian ramai di media sosial selepas beberapa gambar dan rakaman video menunjukkan kepulan asap tebal serta api marak, tular sejak malam tadi.-MalayaDailyToday























































