JOHOR BAHRU – Polis masih menunggu arahan serta keputusan rasmi daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendakwa suspek remaja lelaki yang ditahan berhubung kes pembunuhan pelajar tingkatan empat, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal.
Media melaporkan Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, kertas siasatan kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak pendakwaan pada 9 Oktober lalu dan kini berada dalam peringkat penilaian teliti berikutan status suspek sebagai pesalah juvana.
“Suspek kes ini seorang pesalah juvana dan perkara ini perlu diberi pertimbangan yang lebih teliti oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,” katanya.
Beliau memberitahu tempoh tahanan reman suspek berusia 16 tahun itu masih berkuat kuasa sehingga Jumaat ini, dan pihak polis berharap arahan rasmi daripada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dapat diperoleh sebelum tempoh berkenaan berakhir
Siasatan polis sebelum ini mendapati motif pembunuhan remaja berusia 16 tahun itu dipercayai berpunca daripada perasaan dendam akibat penolakan cinta oleh mangsa.
Media sebelum ini melaporkan Irene Sofiya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa dengan kecederaan parah pada muka dan badan di sebuah dewan sekolah di Yong Peng, Batu Pahat pada 3 Oktober lalu.
Irene Sofiya ditemui neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari cucunya tidak pulang ke rumah.
Susulan kejadian itu, suspek lelaki berusia 16 tahun ditahan reman selama enam hari pada 4 Okt lepas bagi membantu siasatan dan disambung enam hari lagi sehingga Jumaat ini.-MalayaDailyToday

























































