LIPIS – Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengalami kecederaan di bahagian dada dan perut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Kilometer 7, Jalan Lingkaran Tengah Utama, Kechau Tui, Kuala Lipis, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang ketika kenderaan berkenaan dipandu anak perempuan mangsa yang berusia 26 tahun.
Katanya, kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan, menuju Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu SUV berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan itu berpusing dan melanggar penghadang jalan di sebelah kanan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ismail memberitahu anak perempuan Siti Zailah tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan itu.
“Siti Zailah yang berada di tempat duduk penumpang mengalami kecederaan di bahagian dada serta perut. Dia segera dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ismail turut menggesa orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan untuk tampil membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa memandu secara berhati-hati serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik,” katanya.-MalayaDailyToday























































