KUALA LUMPUR – Laporan siasatan awal nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (PDU) di Long Lellang, Ulu Baram yang mengorbankan seorang juruterbang dan empat petugas perubatan bulan lalu, akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok.
Media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penemuan awal oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) mengesahkan bahawa juruterbang terbabit memiliki lesen penerbangan, kelayakan mengendalikan penerbangan serta sijil perubatan yang sah.
“Susulan kemalangan udara tersebut, BSKU, Kementerian Pengangkutan telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan keadaan kemalangan udara tersebut. Laporan siasatan awal oleh BSKU telah disediakan dan dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 16 Oktober 2026.
“Secara ringkasnya, siasatan awal BSKU mendapati juruterbang terbabit memiliki lesen penerbangan yang sah dan berkelayakan untuk mengendalikan penerbangan tersebut, serta memiliki sijil perubatan yang sah.
“Helikopter itu juga mempunyai Perakuan Pendaftaran dan Perakuan Kelayakan Terbang yang sah dan disahkan layak terbang pada masa pelepasan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.
Loke menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang meminta kerajaan menyatakan tarikh audit keselamatan, surveillance audit dan pemeriksaan terakhir CAAM ke atas operator helikopter 80-105 9M-LLF pasca-nahas di Long Lellang serta status penemuan keselamatan yang belum ditutup sebelum insiden.
Anthony Loke turut memaklumkan bahawa laporan akhir berhubung siasatan penuh insiden di Ulu Baram pada 8 September lalu itu dijadualkan siap secara rasmi dalam tempoh setahun.
Nahas terbabit meragut lima nyawa selepas helikopter yang membawa pasukan petugas perubatan terhempas di kawasan pedalaman Long Lellang, Sarawak.-MalayaDailyToday






















































