KATHMANDU – Lebih 100 pendaki warga asing dilaporkan terkandas di beberapa lokasi berbeza di Nepal selepas banjir yang melanda sebuah sungai di bahagian tengah negara itu pada hujung minggu lalu memusnahkan laluan mendaki serta menghanyutkan beberapa jambatan.
Lapor Reuters, pihak berkuasa Nepal memaklumkan seramai 321 individu termasuk 12 warga asing berjaya diselamatkan pada Isnin susulan kejadian tanah runtuh sebelum subuh di daerah Gorkha, kira-kira 100 kilometer di barat Kathmandu.
Menurut pihak tentera, operasi menyelamat akan diteruskan bagi mengesan mangsa lain yang terjejas, walaupun paras air di sungai berkenaan dilaporkan semakin surut.
Sungai Budhi Gandaki merupakan anak sungai kepada Sungai Trishuli, yang sebelum ini turut terjejas akibat bencana banjir besar pada Ogos lalu selepas keruntuhan glasier di salah satu cabangnya mengorbankan 1,457 orang, manakala ribuan lagi masih hilang.
Menurut pihak berkuasa pengurusan bencana kebangsaan, setakat ini, tiada kematian dilaporkan dalam kejadian terbaharu itu.
Bagaimanapun, lima penduduk kampung masih gagal dihubungi selepas rumah mereka dihanyutkan lumpur hitam dan sisa runtuhan yang turut merosakkan infrastruktur, termasuk tiga loji hidroelektrik.
Pegawai Projek Kawasan Pemuliharaan Manaslu, Bhuwan Raj Ojha memaklumkan lebih 100 pendaki warga asing terkandas di lokasi berbeza dan tidak dapat pulang selepas sebahagian laluan mendaki utama musnah akibat banjir.
“Pendaki yang mahu pulang akibat insiden banjir itu perlu diselamatkan.
“Manakala mereka yang mahu meneruskan aktiviti pendakian dibenarkan berbuat demikian dari lokasi yang disahkan selamat.
“Terdapat premis makanan dan rumah persinggahan di sepanjang laluan pendakian berkenaan, Kawasan itu berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Sementara itu, Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD) berpandangan berdasarkan laporan awal pihak berkuasa Nepal, banjir terbaharu itu mungkin berpunca daripada kegagalan sekatan sementara sungai yang terbentuk akibat tanah runtuh.
Ketua Pengarah ICIMOD, Pema Gyamtsho berkata, insiden itu menjadi peringatan bahawa tahap kerentanan komuniti pergunungan dan penempatan di sepanjang koridor sungai sentiasa terdedah kepada ancaman bencana berturutan yang berlaku secara mendadak.
“Meskipun usaha menyelamat dan bantuan kecemasan perlu kekal menjadi keutamaan serta-merta, keupayaan memahami punca kejadian banjir ini adalah amat penting bagi mengurangkan risiko bencana berulang serta meningkatkan daya tahan pada masa akan dating,” katanya.-MalayaDailyToday

























































