KUALA PILAH – Dua remaja lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah sukan di sini, dua minggu lalu.
Pendakwaan terhadap kedua-dua tertuduh dibacakan di hadapan Hakim Roslinda Razali dalam prosiding tertutup, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua remaja berkenaan didakwa bersama-sama membunuh mangsa berusia 14 tahun di asrama sekolah sukan berkenaan antara pukul 7.30 malam dan 8.50 malam pada 25 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Hanif Hassan.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan mangsa, Muhammad Idlan Fareeq Shahril, 14, meninggal dunia dipercayai akibat dibuli di asrama sekolah berkenaan.
Muhammad Idlan yang berasal dari Gemencheh, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di bilik asrama berkenaan pada pukul 8 malam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
Rentetan itu dua remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga senior mangsa ditahan bagi membantu siasatan dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-MalayaDailyToday


















































