ADDIS ABABA: Sekurang-kurangnya 139 migran termasuk 15 kanak-kanak meninggal dunia manakala 84 lagi hilang selepas sebuah bot yang membawa lebih 300 orang terbalik di perairan luar pantai Djibouti, Lapor Al-Jazeera.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) dalam satu kenyataan memaklumkan mangsa terselamat mendakwa kejadian itu berlaku berhampiran Guhere di luar pantai timur Djibouti di Teluk Aden berhampiran Selat Bab al-Mandeb, dari malam Khamis hingga Jumaat.
Bot yang membawa kira-kira 350 kumpulan migran itu dilaporkan dalam perjalanan dari Djibouti ke Yaman.
Lebih 80 orang yang kesemuanya rakyat Ethiopia terselamat dalam kejadian bot terbalik, sementara operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan oleh pihak berkuasa Djibouti.
Ketua Misi IOM di Djibouti, Alexander Coissac berkata, pasukannya kini berada di lapangan bersama pihak berkuasa untuk menawarkan bantuan kecemasan.
“Ini satu kehilangan nyawa yang amat memilukan. Ingatan kami bersama mangsa yang terselamat dan keluarga yang kehilangan orang tersayang atau masih belum menerima khabar mengenai saudara-mara mereka,” katanya.
Jelas Coissac, angka kematian dikemukakan itu hanya merangkumi mangsa yang dikebumikan secara rasmi oleh pihak berkuasa Djibouti.
“Manakala mangsa lain yang dikebumikan oleh kumpulan migran itu sendiri hanya akan dimasukkan ke dalam jumlah keseluruhan selepas proses pengesahan mayat selesai dijalankan,” katanya.
Tambah beliau, tragedi berkenaan merupakan peringatan jelas mengenai risiko dan bahaya yang terpaksa dihadapi kumpulan migran di sepanjang laluan penghijrahan itu demi mencari peluang ekonomi.
Sementara itu, IOM memaklumkan pihaknya merekodkan lebih 20,000 pergerakan masuk ke Djibouti dari Ethiopia sejak 10 September lalu.
Mengikut data agensi itu, lebih setengah juta orang cuba merentasi laluan berkenaan menuju ke Yaman tahun lalu, yang menyaksikan sekurang-kurangnya 900 individu terkorban atau hilang.-MalayaDailyToday























































