PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) serta membekukan pendaftaran baharu model Chery Omoda 5 berkuat kuasa serta-merta susulan insiden kerosakan teknikal tular di Johor Bahru minggu lalu.
JPJ dalam kenyataan media memaklumkan bahawa tindakan pencegahan bersasar itu diambil bagi memastikan aspek keselamatan pengguna jalan raya terjamin berikutan kebimbangan awam terhadap kualiti pembuatan model kenderaan berkenaan.
“Tindakan ini akan dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian yang berpotensi terlibat, manakala pendaftaran baharu ditangguhkan sehingga siasatan teknikal selesai dan risiko keselamatan dikenal pasti,” kata jabatan itu.
Sehubungan itu, JPJ mengarahkan syarikat pengeluar Chery Malaysia untuk mengenalpasti semua unit terjejas mengikut nombor casis serta kelompok pengeluaran dan segera melaksanakan pemanggilan semula (recall) bagi proses pemeriksaan fizikal dan pembaikan.
Bagi mengukuhkan siasatan, JPJ turut akan menjalankan audit teknikal menyeluruh terhadap kilang pemasangan serta pembekal komponen gandar Chery Omoda 5 bagi menilai kawalan kualiti dan Prosedur kimpalan komponen keselamatan.
JPJ menegaskan bahawa penggantungan VTA hanya akan ditarik balik selepas pengeluar menyempurnakan kesemua langkah pembetulan teknikal dan mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. -MalayaDailyToday























































