PASIR MAS – Seorang pelajar tingkatan dua maut disambar petir ketika dalam perjalanan pulang dari memancing di kawasan bendang berhampiran Kampung Tasek Berangan, Repek di Pasir Mas, petang semalam.
Media melaporkan Muhammad Ziad Zikri Abdul Hadi, 14, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kiambang, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian sebelum dikejarkan ke Hospital Pasir Mas.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan sedang berjalan menuju ke kawasan parkir motosikal bersama sepupu dan dua rakan lain sambil memegang joran memancing.
Sepupu mangsa, Mohd Haziq Qoyyum Rosli, 12, berkata kilat tiba-tiba menyambar mangsa yang berada di hadapan, menyebabkan mereka bertiga yang berada di belakang turut rebah akibat gelombang panahan berkenaan.
“Kami hampir sampai di tempat parkir motosikal apabila tiba-tiba kilat menyambar arwah yang ketika itu membawa jorannya.
“Saya sempat melihat tubuh arwah berasap,” katanya.
Mohd Haziq memberitahu dia kemudian berlari pulang ke rumah untuk meminta pertolongan selepas melihat mangsa terbaring kaku di tanah, sebelum ahli keluarga yang tiba mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Bapa mangsa, Abdul Hadi Abdul Ghani, 60, berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada lima beradik itu walaupun tidak sempat berada di sisinya semasa saat akhir.
“Saya tidak sempat mengajar anak mengucap kerana dia sudah meninggal dunia ketika saya tiba di lokasi,” katanya.-MalayaDailyToday
























































