KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti video tular yang didakwa mengandungi maklumat palsu dan mengelirukan berhubung Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelepasan cukai pendapatan dalam Belanjawan 2027.
Bernama melaporkan MCMC menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima aduan orang awam mengenai video berkenaan yang tular di media sosial.
Menurut kenyataan itu, penyebaran maklumat sedemikian berpotensi menimbulkan kekeliruan mengenai dasar percukaian negara sekali gus mencetuskan kebimbangan tidak berasas serta mempengaruhi keputusan kewangan rakyat berdasarkan maklumat yang salah.
“Sehubungan itu, MCMC telah merujuk perkara berkenaan kepada Kementerian Kewangan dan sedang menilai kandungan video tersebut, termasuk konteks penyebaran serta potensi kesannya terhadap masyarakat.
“Tindakan lanjut akan dipertimbangkan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588],” jelas kenyataan itu.
MCMC turut menegaskan kebebasan bersuara perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab dan tidak seharusnya disalahgunakan untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh menjejaskan kepentingan awam.
Orang ramai digesa menyemak maklumat berkaitan Belanjawan 2027 melalui portal rasmi Kementerian Kewangan di www.belanjawan.mof.gov.my, portal Sebenarnya.my, chatbot AIFA menerusi WhatsApp di 03-8688 7997 serta saluran rasmi pihak berkuasa berkaitan sebelum mempercayai atau menyebarkannya.-MalayaDailyToday

























































