WASHINGTON – Presiden Donald Trump berjanji setiap rakyat dewasa Amerika Syarikat (AS) akan menerima bayaran berjumlah AS$5,000 sekiranya parti Republikan memenangi kedua-dua dewan Kongres pada pilihan raya pertengahan penggal November depan.
Media antarabangsa melaporkan langkah itu bakal menelan perbelanjaan melebihi AS$1 trilion.
Trump membuat janji demikian ketika berucap pada konvensyen pertama Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal.
“Jika Republikan menang Dewan Perwakilan dan Dewan Senat, saya akan memperuntukkan AS$5,000 kepada setiap rakyat dewasa AS.
“Ia akan dipanggil dividen Trump,” jelasnya.
Trump tidak mendedahkan butiran terperinci termasuk sumber dana itu, sebaliknya beliau menyatakan wang itu hanya boleh dibelanjakan di AS.
Kata pemimpin itu, negaranya sedang menjana begitu banyak wang.
Ini bukan kali pertama Trump berjanji untuk membuat pembayaran sedemikian.
Sebelum ini, beliau pernah mencadangkan pembayaran cek bernilai AS$2,000 yang akan dibiayai menerusi hasil tarif.
Sementara itu, Demokrat menyifatkan kenyataan Trump sebagai `janji kosong’, malah turut mempertikaikan sama ada ia mampu dilaksanakan. -MalayaDailyToday


































































