KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kediamannya di Langgak Duta malam tadi bagi memulakan pelaksanaan tahanan di rumah.
Media melaporkan kenderaan yang membawa beliau tiba dengan kawalan ketat di bawah iringan konvoi kenderaan rasmi Jabatan Penjara Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus dari Penjara Kajang.
Kepulangan Najib ke kediamannya menyusuli perintah baharu yang dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah itu turut membatalkan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Perintah terbaharu itu selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan pada 18 September lalu, susulan penyelesaian bayaran penuh denda RM50 juta.
Terdahulu, peguam mewakili Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan anak guamnya dibawa kembali ke Penjara Kajang bagi membolehkan syarat tahanan rumah dibaca dan dijelaskan kepadanya.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan supaya Perintah Pelepasan atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lalu, diketepikan atau dibatalkan dan digantikan dengan perintah baharu.
Menurut notis permohonan, perintah pelepasan itu tersilap menyatakan deskripsi mahkamah, tarikh sabitan, deskripsi kesalahan-kesalahan, denda yang dikenakan, tarikh pemenjaraan dan waran pemenjaraan.
Pada 6 November lalu, Najib dilaporkan telah melunaskan denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil Mahkamah Tinggi di sini bagi membolehkan baki hukuman penjaranya dijalani menerusi tahanan di rumah.
AGC sebelum ini memaklumkan pelaksanaan tahanan di rumah itu ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Najib, 73, menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bersalah dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.-MalayaDailyToday
























































