KUALA LUMPUR – Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang berlangsung hari ini dikatakan tidak akan membincangkan mengenai permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan pelaksanaan baki hukumannya di bawah tahanan rumah.
Difahamkan isu berkenaan tidak akan dibangkitkan namun setakat ini agenda rasmi mesyuarat masih belum diketahui.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengesahkan mesyuarat berkenaan akan diadakan.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada Lembaga Pengampunan akan membincangkan sebarang permohonan membabitkan Najib termasuk permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan itu melibatkan Hannah Yeoh selaku menteri yang bertanggungjawab, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dan tiga ahli yang dilantik oleh Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pada 8 September lalu, media melaporkan Lembaga Pengampunan akan diadakan hari ini dengan permohonan berkaitan tahanan rumah Najib dipercayai antara perkara diberi perhatian.
Najib disabitkan kesalahan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn. Bhd.
Beliau dikenakan denda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun yang mula dijalaninya di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta pada Februari 2024.
Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menjalani baki hukuman penjara yang dikurangkan sebagai tahanan rumah. -MalayaDailyToday



































































