AYER KEROH – Polis Melaka menerima 19 laporan polis dan membuka 18 kertas siasatan berhubung pelbagai kesalahan sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 setakat Selasa.
Media melaporkan Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, majoriti kes yang dilaporkan melibatkan perbuatan khianat termasuk merosakkan harta benda awam dan tindakan membakar bendera parti politik.
Dzulkhairi memaklumkan siasatan kini dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Seksyen 427 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Akta Hasutan.
“Kebanyakannya ialah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat dan juga 435 iaitu khianat dengan api di mana membakar bendera,” katanya kepada pemberita selepas selesai mengundi bagi proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Beliau bagaimanapun mengesahkan tiada sebarang tangkapan dilakukan setakat ini berhubung kesemua laporan yang diterima.
Proses pengundian awal hari ini membabitkan seramai 2,445 pengundi polis dan 9,769 pengundi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh Melaka, termasuk 817 pengundi yang dijangka menunaikan tanggungjawab di IPK Melaka.
Sementara itu, Dzulkhairi berkata, situasi sepanjang tempoh kempen PRN Melaka ke-16 kekal terkawal tanpa sebarang insiden meruncingkan yang menjejaskan ketenteraman awam.
Kata beliau, seramai 669 anggota polis telah digerakkan sepanjang tempoh berkempen bagi memantau pergerakan parti politik serta kelancaran aktiviti lapangan di seluruh negeri.
“Sepanjang kempen ini agak tenang. Tidak ada insiden-insiden yang meruncingkan dan semuanya terkawal,” katanya.
Beliau berkata, seramai 3,332 anggota polis akan dikerahkan secara menyeluruh menjelang hari pengundian rasmi pada 14 November ini bagi menjamin keselamatan dan kelancaran proses pembuangan undi.
Sebagai langkah kesiapsiagaan tambahan, polis turut menempatkan Pasukan Cantas bagi menangani sebarang kemungkinan kekecohan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.-MalayaDailyToday
























































