KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar langkah dan mekanisme sedia ada ASEAN dalam menangani krisis jerebu rentas sempadan ditambah baik secara menyeluruh.
Beliau menegaskan bahawa menteri-menteri ASEAN perlu memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan memandangkan pencemaran jerebu menjejaskan kesihatan awam secara ketara, terutamanya golongan kanak-kanak dan bayi.
Anwar turut menggesa penilaian semula dibuat bagi menentukan sama ada tindakan serta mekanisme peringkat rantau yang diguna pakai ketika ini benar-benar berkesan dalam menangani masalah jerebu berulang yang menjejaskan negara-negara jiran.
“Satu penilaian khusus perlu dijalankan bagi memastikan langkah penanganan jerebu rantas sempadan mencapai tahap keberkesanan yang sepatutnya,” kata beliau.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Malaysia tidak akan melindungi mana-mana syarikat milik negara ini yang beroperasi di Indonesia sekiranya terbukti terlibat dalam aktiviti pembakaran terbuka.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Indonesia untuk mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap syarikat terbabit jika disahkan bersalah. -MalayaDailyToday

































































