KUALA LUMPUR – Malaysia bukan sahaja meraikan kejayaan Taanusiya Chetty yang muncul naib juara ketiga Miss World 2026 dan dinobatkan sebagai Miss Asia, tetapi turut mempunyai sebab lebih besar untuk berbangga dengan wanita muda itu.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Sivamalar Genapathy dalam hantaran di Facebook baru-baru ini menyifatkan kejayaan Taanusiya sebagai sesuatu yang lebih bermakna kerana perjalanan wanita itu sudah lama dibina atas pendidikan, khidmat masyarakat dan usaha membantu golongan kurang mendapat perhatian.
Taanusiya, yang mempunyai latar belakang dalam bidang pendidikan dan terlatih dalam Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua, bukan wajah baharu dalam kerja kemasyarakatan.
Pada 2022, beliau mengasaskan Be.The.Change Malaysia, sebuah inisiatif diterajui golongan muda yang memberi tumpuan kepada pendidikan, bimbingan dan pembangunan diri kanak-kanak daripada komuniti yang kurang mendapat peluang.
Melalui usaha itu, Taanusiya turun mendekati komuniti Orang Asli, kanak-kanak berkeperluan khas, masyarakat luar bandar serta kanak-kanak yang menjalani rawatan jangka panjang di hospital.
Antara inisiatif yang dekat dengan perjuangannya ialah Projek Cahaya yang menyediakan ruang pembelajaran khusus untuk kanak-kanak Orang Asli yang sedang menjalani rawatan di Hospital Orang Asli Gombak.
Bagi Sivamalar, latar belakang itu menjadikan kejayaan Taanusiya di pentas Miss World lebih daripada sekadar pencapaian dalam pertandingan kecantikan.
“Beliau tidak menunggu mahkota untuk mencari tujuan. Kerja itu sudah dimulakan bertahun-tahun sebelum pentas antarabangsa mengenalinya,” tulisnya.
Taanusiya sebelum ini mewakili Malaysia di Miss World 2026 dan berjaya mara sehingga menduduki tempat ketiga keseluruhan, selain dinobatkan sebagai Miss Asia.
Pencapaian itu turut menyamai kedudukan terbaik Malaysia dalam sejarah Miss World selepas 28 tahun, menjadikan kejayaan berkenaan antara detik paling membanggakan negara dalam pertandingan tersebut.
Namun, menurut Sivamalar, perkara yang lebih penting bukan sekadar mahkota yang kini berada di kepala Taanusiya, tetapi bagaimana beliau menggunakan pendidikan dan kedudukannya untuk memberi peluang kepada orang lain.
“Pengiktirafan menjadi benar-benar bermakna apabila kita menggunakan platform yang dimiliki untuk mengangkat orang lain,” katanya.
Sivamalar turut melihat perjalanan Taanusiya sebagai gambaran Malaysia yang wajar diperkenalkan kepada dunia, sebuah negara yang pelbagai, berpendidikan, prihatin dan mempunyai generasi muda yang mahu membawa perubahan.
Daripada bilik darjah kepada komuniti, kemudian ke pentas dunia, perjalanan Taanusiya kini membawa satu mesej yang lebih besar: mahkota mungkin menjadikan seseorang dikenali, tetapi apa yang dilakukan sebelum dan selepas memakainya menentukan nilai sebenar sebuah kemenangan.
Buat Malaysia, kejayaan Taanusiya bukan sekadar tentang tempat ketiga atau gelaran Miss Asia. Ia adalah kisah seorang anak muda yang memilih untuk memberi sebelum dunia memberinya pentas. -MalayaDailyToday

































































