KUALA LUMPUR – Baki beban kewangan bersih yang ditanggung kerajaan berkaitan 1Malaysia Development Bhd dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion setakat ini.
Jumlah berkenaan adalah selepas mengambil kira pemulihan dana dan aet berjumlah RM31.3 bilion yang berjaya diperoleh semula, dengan andaian tiada sebarang pemulihan tambahan pada masa hadapan.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), jumlah keseluruhan obligasi kewangan kerajaan berkaitan 1MDB adalah sebanyak RM51.4 bilion, dengan mengambil kira bayaran telah dilakukan dan baki komitmen yang masih perlu dijelaskan.
“Sejak kerajaan mula mengambil alih tanggungan hutang dan komitmen kewangan berkaitan 1MDB pada April 2017, kerajaan telah menjelaskan bayaran berjumlah RM42.5 bilion.
“Bayaran itu merangkumi bayaran prinsipal sebanyak RM27.7 bilion serta faedah dan komitmen lain sebanyak RM14.8 bilion,” jelas MoF menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
MoF menjawab pertanyaan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai mekanisme baharu bagi memastikan kes seumpama 1MDB tidak lagi membolehkan liabiliti sedemikian dipindahkan kepada pembayar cukai serta jaminan supaya proses tuntutan tidak terjejas kerana perkembangan hukuman jenayah pelaku.
Selain itu, MoF menjelaskan baki komitmen sukuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) yang dijamin kerajaan kini berjumlah RM8.9 bilion, merangkumi prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga tempoh matang pada 2039.
MoF turut memaklumkan kerajaan kekal komited untuk meneruskan tuntutan dan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.
Jelasnya, sebarang perkembangan mengenai hukuman jenayah atau pengampunan mana-mana individu tidak akan menamatkan tuntutan sivil bagi memulihkan dana yang diseleweng.
“Pendirian kerajaan adalah tegas, dengan usaha mendapatkan semula dana negara akan diteruskan melalui saluran undang-undang yang tersedia, dengan menghormati bidang kuasa mahkamah dan kuasa pengampunan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” jelas MoF.
Tambah kementerian, keutamaan kerajaan ialah memaksimumkan pemulihan dana bagi melunaskan obligasi 1MDB, mengurangkan beban kewangan negara dan memelihara kepentingan rakyat.-MalayaDailyToday

























































