PUTRAJAYA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memanfaatkan seluruh kekuatan termasuk mempertimbangkan cadangan pembentukan gabungan politik baharu bagi mengukuhkan kedudukan parti dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggesa agar usaha mengukuhkan parti dirangkumkan secara menyeluruh kepada semua pihak.
Beliau menjelaskan bahawa langkah menarik semula veteran parti, seperti penyertaan semula bekas Naib Presiden, Datuk Dr Xavier Jayakumar merupakan sebahagian daripada strategi pengukuhan sedia ada.
“Presiden mahu supaya usaha itu dilanjutkan kepada seluruh kekuatan. Jadi saya lihat ini salah satu strategi yang akan dimanfaatkan,” kata Fahmi ketika ditemui selepas meninjau latihan dan persediaan sempena sambutan Hari Kebangsaan di sini hari ini.

Kenyataan berkenaan bagi mengulas cadangan bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang menyarankan agar PH membentuk strategi politik serta pakatan baharu yang lebih inklusif berbanding model tiga parti sedia ada yang disifatkannya sebagai semakin tidak relevan.

Tian Chua sebelum ini mengusulkan agar pakatan baharu berkenaan turut merangkumi pelbagai parti politik, gerakan masyarakat, serta individu yang berkongsi visi dalam membina Malaysia yang inklusif. -MalayaDailyToday
































































