MELAKA – Kerajaan meneliti langkah berkaitan larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan pegawai kerajaan atas pertimbangan keselamatan dan kedaulatan negara.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya PH Melaka bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Stadium Hang Jebat, di sini, malam tadi.
Bernama melaporkan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, langkah itu bukan bertujuan mengharamkan Waze secara menyeluruh, sebaliknya mengambil kira risiko pemantauan pergerakan pegawai kerajaan, khususnya mereka yang mengendalikan urusan keselamatan negara.
“Saya mahu jelaskan mengapa isu Waze dibangkitkan. Pertama isu ini bukan semata-mata berkaitan aplikasi Waze tetapi kaitan Waze dengan sebuah syarikat yang mempunyai ibu pejabat di Israel.
“Kedua, persoalan tentang bidang kuasa undang-undang sekiranya berlaku pertikaian dengan syarikat tersebut. Dalam keadaan tertentu, perjanjian yang melibatkan syarikat antarabangsa boleh menimbulkan persoalan tentang mahkamah yang mempunyai bidang kuasa untuk menyelesaikan pertikaian,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebarang keputusan lanjut berhubung larangan menyeluruh aplikasi Waze hanya akan diputuskan selepas penelitian terhadap kemampuan alternatif sedia ada mempunyai keupayaan mencukupi.
Mengakui terdapat kelemahan dalam pelaksanaan langkah berkaitan Waze, Anwar berkata, beliau menerima teguran orang ramai, termasuk berhubung prestasi aplikasi navigasi alternatif tempatan, TuJu yang disifatkan masih mempunyai kekurangan dan perlu ditambah baik.
“Saya tidak mengatakan bahawa keputusan yang dibuat sebelum ini merupakan keputusan yang paling sempurna. Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
“Namun, kita juga tidak boleh menyerahkan pertimbangan keselamatan dan kepentingan negara kepada pihak luar tanpa menilai risikonya. Jika terdapat alternatif yang lebih baik, kerajaan akan menelitinya,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memastikan setiap langkah yang diambil tidak mengabaikan pendirian Malaysia terhadap tindakan Israel selain tidak menjejaskan kepentingan negara.
Anwar berkata, Malaysia sebagai negara berdaulat mempunyai hak untuk menentukan pendirian sendiri, termasuk dalam isu Palestin.-MalayaDailyToday





















































