SUKAU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor turun padang meninjau sendiri kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah sambil menegaskan segala isu di tapak perlu diselaras dan diselesaikan segera bagi memastikan projek itu tidak terus mengalami kelewatan.
Dalam lawatan kerja dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone), beliau singgah di pakej kerja WP25 untuk melihat sendiri perkembangan projek selain mendengar taklimat teknikal daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).
Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab serta beberapa pembantu menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Menurut taklimat JKR, pakej WP25 melibatkan pembinaan jajaran sepanjang hampir 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek direkodkan sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran asal 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028.
Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama yang menjejaskan kemajuan kerja termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah selain cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, beliau turut menerima taklimat mengenai perkembangan pakej berhampiran, WP24 yang melibatkan laluan sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Bagi WP24, kemajuan fizikal sehingga April 2026 direkodkan sekitar 15.60 peratus dengan sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, Hajiji menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan berkesan antara semua agensi terlibat khususnya dalam mempercepatkan proses pengambilan tanah serta pengalihan utiliti supaya garis masa projek tidak terus terjejas.
Beliau berkata, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh rangkaian jalan raya selain merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menghubungkan kawasan utama di Pantai Timur Sabah.
“Kerajaan negeri komited memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara terancang, dipantau rapi dan disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat,” katanya. -MalayaDailyToday

























































