KUALA LUMPUR: Pejabat Perdana Menteri memaklumkan surat yang mendakwa Jemaah Menteri meluluskan cadangan projek Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) untuk kerja-kerja pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) adalah palsu.
Dalam satu kenyataan ringkas dimuat naik di Facebook, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah mengeluarkan mahupun menandatangani surat bertarikh 17 Julai 2026 itu.
Pejabat Perdana Menteri turut menafikan sebarang kaitan dengan dokumen serta kelulusan seperti yang didakwa.
“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, menyebarkan atau berkongsi dokumen palsu berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, Pejabat Perdana Menteri sudah membuat laporan polis berhubung pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan nama Perdana Menteri serta identiti rasmi Pejabat Perdana Menteri.
“Tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat,” jelas kenyataan itu.-MalayaDailyToday



















































