KUALA LUMPUR – Perselisihan faham berkaitan parkir kenderaan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Connaught, Cheras di sini awal pagi tadi mencetuskan pergaduhan bersenjata sehingga membawa kepada penahanan dua lelaki warga China.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden membabitkan sekumpulan lelaki kira-kira pukul 4 pagi sebelum gerakan mengesan suspek dilancarkan.
“Bertindak atas maklumat yang diterima, pihak polis berjaya menahan dua lelaki warga China berusia lewat 20-an dan awal 30-an di kawasan Taman Len Seng kira-kira sejam kemudian,” katanya dalam kenyataan.
Rosdi berkata, kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan muka, serta telah dibawa untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata, semakan awal rakaman kamera litar tertutup mendapati beberapa individu lain turut terlibat dan senjata yang digunakan dalam kejadian itu dipercayai batang besi.
“Kedua-dua suspek telah dibawa ke mahkamah sebelum diperintahkan reman selama empat hari bermula hari ini.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kes ini,” katanya.
Video pergaduhan yang tular di media sosial, memaparkan beberapa individu saling bergaduh sehingga menyebabkan seorang daripada mereka terbaring akibat kecederaan.-MalayaDailyToday























































