KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan perlindungan subsidi bil elektrik bagi pengguna domestik daripada kadar 600 kilowatt-jam (kWj) kepada 800 kWj sebulan berkuat kuasa bagi penggunaan elektrik mulai September hingga 31 Disember 2026.
Menerusi kenyataan rasmi di media sosial hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa langkah berkenaan diambil bagi menangani tekanan kos sara hidup dan peningkatan penggunaan elektrik susulan fenomena cuaca panas serta jerebu mutakhir ini.
“Melalui langkah ini, pengguna domestik yang menggunakan elektrik sehingga 800 kWj sebulan akan diberikan perlindungan melibatkan pengecualian Pelarasan Kos Bahan Api Automatik (AFA), Caj Peruncitan dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST),“ kata Anwar.
Beliau menjelaskan peningkatan penggunaan elektrik di sesetengah isi rumah yang melepasi paras 600 kWj berpunca daripada keadaan cuaca semasa, sekali gus mengakibatkan kenaikan kos bil mingguan dan bulanan yang luar biasa.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), serta Suruhanjaya Tenaga atas kerjasama menyegerakan pelaksanaan subsidi tambahan berkenaan.
Kerajaan akan terus memantau pergerakan kos bahan api dan pasaran tenaga global bagi memastikan kestabilan tarif elektrik seimbang dengan kestabilan bekalan serta kemampanan sektor tenaga negara. -MalayaDailyToday
























































