SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim hari ini mengakui kekhilafannya dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini susulan kemelut yang membabitkan institusi adat serta pentadbiran negeri.
Media melaporkan pengakuan itu dibuat menerusi pembacaan aku janji beliau yang turut menyatakan komitmen penuh untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus menghormati dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
“Saya menurunkan aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya. Ianya dibuat atas kesedaran saya yang telah khilaf dalam menerajui kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini.
“(Kini) tanggungjawab saya untuk memastikan semua anggota kerajaan Negeri Sembilan terus menghormati dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan seluruh institusi diraja serta Dewan Keadilan dan Undang, selanjutnya melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar khas di kediaman rasmi Menteri Besar sejurus selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap hari ini.
Pada masa sama, Ismail memberi jaminan bersedia meletakkan jawatan sekiranya beliau atau mana-mana anggota pentadbiran negeri melanggar ketetapan dalam aku janji berkenaan.
“Justeru, sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana bahagian dan perenggan kepada aku janji ini, saya berjanji akan menarik diri dan menyembah maklum surat peletakan jawatan dengan cara yang sempurna.
“Saya akan serah kepada Tuanku Muhriz bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain,” katanya.
Aku janji itu antara lain merangkumi pengiktirafan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain komitmen melaksanakan ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
Terdahulu, Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap sebelum memaklumkan baginda menitahkan beliau meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kelancaran pentadbiran serta kepentingan rakyat negeri ini terus terpelihara.
Sementara itu, Ismail berkata, pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berdepan kekangan susulan ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sekali gus menyebabkan banyak urusan serta keputusan kerajaan tidak dapat dilaksanakan.
Kata beliau, keadaan tersebut berlaku selepas kesemua anggota Exco terbabit dipecat pada 20 September lalu.
“Pentadbiran terencat ini sebab kita tidak ada Exco dan banyak keputusan kerajaan tidak boleh dibuat. Jadi kita berpandangan itu merupakan keutamaan, mesti ada Exco semula.
“Nama-nama Exco ini mengikut perkenan daripada Tuanku atau hak Tuanku,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail memaklumkan senarai nama calon Exco masih belum dimuktamadkan, namun tidak menolak kemungkinan pelantikan berkenaan dapat diselesaikan dalam minggu ini.
Tambah beliau, urusan pelantikan barisan Exco perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditentukan.-MalayaDailyToday
























































