SEREMBAN: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mengadakan perjumpaan di Wisma UMNO di sini malam ini.
Ia dipercayai susulan kenyataan Datuk Ismail Lasim tengah hari tadi berhubung kedudukannya sebagai Menteri Besar.
Media melaporkan pertemuan tertutup itu diadakan bagi merungkai kemelut serta menyelesaikan segala permasalahan yang sedang melanda pentadbiran negeri ini termasuk membabitkan jawatan Menteri Besar.
Yang turut hadir ialah barisan pemimpin utama BN termasuk Timbalan Pengerusi BN yang juga ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Menurut Mohamad, pertemuan tersebut diadakan bagi menyelesaikan segala permasalahan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan termasuk membabitkan jawatan Menteri Besar.
“Negara kita negara yang berpelembagaan. Negara yang ada undang-undang, jadi semuanya mesti dilakukan dengan betul.
“Kalau buat secara tertib, saya rasa tidak ada isu. Ikutlah tertib, jangan ambil jalan pintas,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan berkenaan.-MalayaDailyToday























































