KOTA KINABALU – Kebimbangan terhadap kemungkinan kehabisan stok bahan api di Sabah menjadi fokus utama dalam pertemuan antara kerajaan negeri dan Persekutuan, dengan jaminan diberikan bahawa situasi bekalan kekal terkawal.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kestabilan bekalan petrol dan diesel adalah kritikal memandangkan banyak sektor ekonomi negeri bergantung kepada penggunaan bahan api tersebut.
“Bekalan yang konsisten penting untuk memastikan aktiviti logistik, perikanan dan pertanian tidak terjejas,” katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali di Menara Kinabalu, semalam.
Dalam pertemuan itu, Armizan memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan telah mengambil langkah awal bagi mengelakkan sebarang gangguan bekalan.
Menurutnya, pemantauan berterusan serta penyelarasan bersama agensi berkaitan akan dipertingkat bagi memastikan bekalan kekal stabil, khususnya di kawasan pedalaman.
“Kita tidak mahu berlaku situasi ‘stock out’ yang boleh menjejaskan pengguna dan ekonomi negeri,” katanya.
Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Mohd Salim Fateh Din yang membentangkan perkembangan pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Sabah.

Taklimat itu turut merangkumi kemajuan inisiatif Bandar Pintar Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK Smart City) sebagai sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur digital negeri.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib serta pegawai kanan SKMM. -MalayaDailyToday































































