October 15, 2024
#EKONOMI

Harga sayur dijangka meningkat tiga kali ganda pada bulan November dan Disember akan datang

KUALA LUMPUR – Harga sayur-sayuran dijangka meningkat tiga kali ganda pada November dan Disember depan susulan fasa Monsun Timur Laut (MTL) yang berpotensi mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata kebanyakan harga sayur di peringkat ladang naik 20 hingga 50 peratus bagi tempoh seminggu kebelakangan ini.

Katanya, harga sayur tomato mengalami peningkatan dari RM1.50 sekilogram kepada RM2.30 sekilogram.

“Antara sayuran lain yang mengalami peningkatan harga termasuk daun bawang, kailan, sawi, supak choi, timun, terong dan kacang buncis.

“Harga sayuran daun dijangka akan naik lagi dan jadi mahal pada November dan Disember,” katanya kepada BH hari ini.

Mengulas lanjut, Syed berkata, keadaan cuaca semasa mengakibatkan penyakit kulat merebak dengan pantas sekaligus menjejaskan pengeluaran hasil sayuran.

Katanya, sayuran berdaun yang ditanam tanpa SPH (rumah plastik) juga mengalami kerosakan ditambah pula dengan hujan kuat.

“Oleh itu, penggunaan racun perosak adalah antara persediaan untuk menghadapi musim tengkujuh.

“Selalunya (pada musim hujan), petani akan menggunakan racun perosak untuk elak daripada kerosakan sayuran,” katanya. -BH

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *