KUALA LUMPUR – Pergerakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di luar kediamannya selama hampir lapan jam semalam adalah bagi memenuhi beberapa urusan termasuk pemeriksaan kesihatan, solat Jumaat dan program pemulihan.
Jabatan Penjara Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan pergerakan Najib bermula pukul 10.25 pagi hingga 6.25 petang itu dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta syarat tahanan rumah yang ditetapkan.
Jelas jabatan itu, sepanjang tempoh berkenaan, Najib menghadiri janji temu pemeriksaan kesihatan bagi mendapatkan rawatan susulan di Jabatan Ortopedik, Hospital Kuala Lumpur.
Beliau kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Penjara Kajang sebelum mengikuti sesi pengajian al-Quran bersama ustaz dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menghadiri sesi kaunseling bersama pegawai psikologi di penjara berkenaan.
“Setelah selesai semua urusan tersebut, beliau dibawa pulang dari Penjara Kajang pada pukul 5.50 petang dan tiba di kediamannya di Jalan Langgak Duta pada pukul 6.25 petang,” jelas kenyataan itu.
Jabatan Penjara Malaysia memaklumkan pergerakan Najib dilaksanakan berdasarkan urusan dan keperluan ditetapkan selain tertakluk kepada kawalan serta seliaan ketat jabatan berkenaan.
Tambah kenyataan itu, aktiviti keagamaan, rawatan kesihatan serta program pemulihan dan intervensi merupakan antara aspek yang diberi perhatian dalam pengurusan individu yang sedang menjalani hukuman.
“Jabatan Penjara Malaysia akan terus memastikan segala urusan berkaitan dilaksanakan secara teratur, profesional dan mematuhi ketetapan yang berkuat kuasa,” jelas kenyataan itu.-MalayaDailyToday






















































