October 18, 2024
#POLITIK

Perjuangan MA63 adalah komitmen berterusan, rakyat Sabah perlu bersatu jangan berpecah – Anifah

KUALA LUMPUR – Perjuangan secara berterusan, tegas dalam isu Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan merupakan jaminan bahawa rakyat Sabah akan terus berjuang menuntut hak-hak Sabah mereka.

Itu merupakan antara reaksi Ahli Dewan Negara, Tan Sri Anifah Aman menjawab isu kerajaan negeri dikatakan membuat kesilapan semasa semakan kehakiman mengenai hak Sabah terhadap 40 peratus hasil kutipan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di Mahkamah Rayuan.

Kata Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) dan pengasas bersama kumpulan MySabah yang mendorong pembentukan panel semakan MA63, perjuangan itu tidak pernah selesai dan tidak akan sesekali terhenti.

“Ingat ya, mesej yang jelas telah dikeluarkan bahawa Sabah tidak akan berganjak walau sedikit pun. Kata-kata yang digunakan oleh Ketua Menteri dalam kenyataannya sebelum ini sangat jelas. 

“Namun, kita mesti belajar daripada kesilapan yang dibuat. Secara peribadi, saya melihat bahawa isu MA63 menyatukan semua rakyat Sabah walaupun terdapat perbezaan perfahaman antara kita. Inilah yang membuat kita kuat,” katanya dalam kenyayaan.

Kata bekas Menteri Luar, rakyat Sabah khasnya perlu bertenang supaya isu ini dapat ditangani demi kepentingan terbaik negeri dan rakyat. 

“Apapun kita jangan berpecah, apa sahaja keputusan kita buat demi kepentingan rakyat Sabah. Perjalanan perjuangan ini sudah lama tapi tidak wajar untuk kita berpecah dan menjadikan pihak tertentu sebagai musuh sepanjang perjalanan ini. Kita semua bersama dalam hal ini,” tegasnya.

Anifah adalah tokoh utama yang membawa isu MA63 ke arus perdana politik semasa pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika berkhidmat sebagai Menteri Luar dari 2009 hingga 2018.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa Sabah tidak akan melepaskan hak perlembagaan asasnya berkaitan geran khas 40 peratus hasil Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. 

Dalam prosiding rayuan pada Khamis lalu, kemasukan saat akhir kerajaan negeri sebagai ‘pencelah’ menyaksikan peguam mewakili pejabat Peguam Besar Negeri, Tengku Fuad Ahmad mempersoalkan locus standi Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) dalam memohon semakan terhadap hasil 40 peratus negeri. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *