September 3, 2024
#UTAMA

PM amat komited tangani isu kaum India, ada pihak sengaja mainkan sentimen kebencian – Ramanan

KUALA LUMPUR – Sejak bermulanya kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu bermula, ada segelintir pihak berkepentingan sengaja tampil menyebar sentimen kebencian terhadap kerajaan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kalangan komuniti India bagi meraih undi.

Itu antara dakwaan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan yang sekali lagi menegaskan Anwar sejak memegang tampuk kuasa sentiasa fokus dan komited dengan agenda pemerkasaan masyarakat India di negara ini.

“Ada pihak menjaja naratif kononnya Perdana Menteri pinggirkan masyarakat India, itu memang tidak betul. Kerajaan Madani tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum termasuklah komuniti ini.

“Ada sekumpulan yang mempunyai agenda peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat, kumpulan ini terdesak dalam melakukan fitnah dengan membangkitkan dakwaan seperti ini, mereka dengki dengan komitmen kita dan sengaja mahu membangkitkan kemarahan komuniti India,” katanya kepada MalayaDailyToday hari ini.

Kata Ramanan, kerajaan berterusan komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program ketika ini tidak kira musim pilihan raya atau sebaliknya.

“Jumaat lepas saya umum RM100,000 geran diluluskan untuk manfaat Koperasi Pengusaha Restoran India Berhad (KOPRIMAS) di bawah Program Pengukuhan Koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Sebelum itu juga kita ada umum dana tambahan RM30 juta melalui Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) RM50 juta daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang bakal memanfaatkan lebih 10,000 usahawan wanita India.

“Semua inisiatif untuk usahawan masyarakat India ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa mandat daripada Perdana Menteri. Beliau yang sebenarnya berterusan memastikan segala macam agenda disediakan untuk komuniti ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, kata Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, adalah langsung tidak adil untuk menuduh Perdana Menteri tidak membuat apa-apa terutamanya terhadap komuniti itu, dan menurutnya dakwaan itu dilakukan oleh segelintir ahli politik yang tidak berjawatan.

“Cukup-cukuplah berpolitik. Fikirlah dulu tentang kepentingan rakyat dan komuniti kita. Jangan asyik buat sesuatu kerana agenda tertentu, biarlah agenda itu untuk masyarakat kita khasnya yang amat memerlukan,” tegasnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Malayadailytoday