KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah dalam nada amaran supaya Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara mempamerkan teladan yang baik sepanjang persidangan Parlimen.
Titah baginda, semua ahli Parlimen dan Dewan Negara supaya menjaga adab dan tatatertib, selain menggunakan pertuturan yang sopan.
Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.
“Saya mahu ingatkan, Parlimen ini adalah tempat untuk penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Yang Berhormat (YB) semua adalah penggubalnya.
“Adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat. Justeru, saya harap semua ahli akan menunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan ini. Jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata yang sopan, bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, hari ini.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.
Sultan Ibrahim juga mengakui malu untuk menghadiri persidangan Parlimen sebelum ini, susulan tindakan dan pertuturan dipamerkan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Kalau tengok perangai ahli Dewan sebelum ini, saya pun rasa malu hendak masuk ke dewan ini.
“Saya berikan ‘green light’ kepada Speaker untuk mengambil tindakan kepada ahli yang melampaui batas, boleh kenakan ‘banned’ (selama) 14 hari jika ada yang masih berdegil,” titahnya. -MalayaDailyToday
Discussion about this post