KUALA LUMPUR – Sebanyak 24 lokasi di seluruh negara merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Semakan menerusi laman sesawang Sistem Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati Pasir Gudang di Johor mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 196.
Kawasan lain merekodkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Larkin (177), diikuti Pengerang (174), Nilai (173), Seremban dan Kota Tinggi masing-masing mencatatkan bacaan 172 serta Klang (171).
Batu Pahat dan Johan Setia turut berada pada paras tidak sihat iaitu 170, manakala Petaling Jaya, Shah Alam dan Bandaraya Melaka masing-masing merekodkan bacaan IPU 169.
Selain itu, Tangkak merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 168, Bukit Rambai (166), Alor Gajah (165), Cheras dan Putrajaya masing-masing (162) serta Segamat (161).
Sementara itu, sebanyak 43 Kawasan di seluruh negara mencatatkan IPU tahap sederhana antaranya Kuala Selangor pada bacaan 93, Tanjung Malim (92), Seri Manjung (86), Temerloh (82), Tasek Ipoh (81) dan Indera Mahkota (80).
Kapit, Sarawak, menjadi satu-satunya stesen yang merekodkan kualiti Udara tahap baik iaitu pada bacaan IPU 47.
Bacaan IPU antara sifar sehingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 301 dan ke atas (berbahaya).-MalayaDailyToday






















































