1. Pernyataan di Sinar Harian yang dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Amanah Hulu Selangor mengenai agihan kedudukan Kerusi DUN Hulu Bernam bakal ditandingi Parti Amanah mengantikan parti penyandang iaitu Barisan Nasional adalah dianggap terlalu awal, dan sama sekali bersikap mendahului kepimpinan parti-parti Kerajaan Perpaduan yang mengundang polemik sesama anggota parti kerajaan.
2. Kenyataan yang dibuat itu dapat membawa persepsi negatif kepada pemimpin, ahli parti dan para pengundi dengan cara menimbulkan keresahan serta boleh membawa pepecahan serius jika dibiarkan berterusan.
3. Pada ketika proses rundingan bagi pembahagian kerusi di Negeri Selangor yang melibatkan komponen parti di dalam Pakatan Harapan dan juga komponen Barisan Nasional dilakukan, yang sudah tentunya sensitif, maka harapnya pada peringkat rundingan ini berlangsung, sikap matang dan profesional pemimpin parti sesama komponen pendiri Kerajaan Perpaduan ini tetap utuh tanpa dicemari provokasi dapat di amalkan.
4. Oleh kerana itu, adanya spekulasi dan pernyataan seperti yang dilakukan Pemuda Amanah Hulu Selangor itu boleh menimbulkan ketidakharmonian diantara pimpinan, anggota parti dan pengundi yang berada dibawah Pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
5. Dalam konteks ini, penting bagi semua pihak untuk berhati-hati dan memastikan bahawa informasi yang disampaikan berkaitan dengan pembahagian kerusi adalah tepat.
6. Oleh kerana demi menjaga kepercayaan dan kesatuan di antara mereka yang terlibat dalam proses politik dikawasan tersebut, Pemuda UMNO Bahagian Hulu Selangor berpandangan, elemen sensasi media harus dihentikan. Pemuda Parti Amanah Hulu Selangor yang berpegang kepada ura-ura bahawa hasil rundingan maka kerusi tradisi Barisan Nasional di Hulu Bernam, Selangor akan diberikan laluan kepada Pakatan Harapan, yang diwakili oleh Parti Amanah seperti mana di suarakan oleh Pemuda Amanah Hulu Selangor tersebut di dalam media harus dijadikan pengajaran dan dielakkan oleh sesama pemimpin politik Kerajaan Perpaduan.
7. Pemuda Hulu Selangor menyedari bahawa pengumuman rasmi oleh Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan belum diadakan, maka kami sepenuhnya mengharapkan keputusan yang bakal di umumkan tetap memihak kepada Barisan Nasional untuk meletakkan calon bagi
mempertahankan kerusi tradisi dan antara kerusi kubu kuat UMNO dan BN di Negeri Selangor ini. Secara tradisinya, BN telah dipilih oleh majoriti rakyat sejak merdeka bagi mewakili kawasan DUN Hulu Bernam, maka selayaknya dikekalkan asas tradisi yang dibina rakyat Hulu
Selangor ini.
8. Pemuda UMNO Hulu Selangor memahami bahawa proses politik adalah rumit dan memerlukan waktu untuk mengambil keputusan yang tepat. Menjaga integriti dan kepercayaan di antara semua pihak yang terlibat dalam proses politik adalah kunci utama kepada sesuatu kerjasama.
9. Amalan mengadakan spekulasi yang tidak sahih dapat menimbulkan ketidakstabilan dan mempengaruhi persepsi masyarakat secara negatif dan perlu diubah. Oleh itu, penting bagi semua pimpinan parti di dalam gagasan Kerajaan Perpaduan untuk bertanggung jawab dalam menyampaikan informasi yang benar dan tepat.
10. Melalui pengumuman rasmi, ahli-ahli parti dan pengundi akan menerima informasi yang jelas dan dapat disampaikan. Dengan demikian, diharapkan agar keadaan yang kondusif untuk mempertahankan perpaduan dan kerjasama di antara semua pihak yang terlibat dalam politik dibawah naugan Kerajaan Perpaduan.
Omar Al- Khattab Bin Kasim
Ketua Pemuda Umno Hulu Selangor
Discussion about this post