September 6, 2024
#BERITA

Perak perlu kaji semula jadikan tanah wakaf sebagai TRM, jangan buat sewenangnya – MHO

KUALA LUMPUR – Jadikan tanah wakaf sebagai tanah rizab Melayu (TRM) tidak seharusnya dilakukan sewenang-wenangnya.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini memohon supaya kerajaan negeri Perak akan mengkaji semula keputusan untuk menjadikan tanah wakaf sebagai TRM.

Kerajaan negeri Perak berhasrat untuk menjadikan 800 hektar tanah wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri itu sebagai TRM.

Kebimbangan itu diluahkan oleh Setiausaha Agung MHO, Datuk Seri Hishamuddin Hashim, kemungkinan keputusan akan menjadi pertikaian kelak terutamanya dari segi perundangan dan syarak untuk mengambil tanah wakaf saraan bagi tujuan mengkategorikan sebagai TRM.

Hishamuddin yang juga seorang pengamal undang-undang mendedahkan, sebelum ini Majlis Fatwa Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam kali ke-46 pada 22 April 1999 mengatakan bahawa tanah wakaf tidak boleh sama sekali dipindah milik kecuali kerana darurat berdasarkan syarat tertentu.

“Ini bermaksud tanah wakaf ini tidak sewenang-wenangnya diambil oleh pihak berkuasa melainkan atas nama darurat. Jadi kita hendak tahu adakah ini untuk penuhi kuota atau kepentingan TRM jadi tanah wakaf diambil?

“Adakah itu darurat? Ini adalah kepentingan memenuhi kehendak politik dengan mendawa TRM telah bertambah,” katanya hari ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Pejabat Tanah dan Galian Perak berjaya membuat rundingan untuk mewartakan kawasan seluas 800 hektar di Gunung Bersout, Batang Padang yang merupakan wakaf saraan bagi masjid seluruh negeri itu sebagai kawasan tambahan TRM.

Cadangan pewartaan itu akan dibawa untuk kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Tambah Hishamuddin, keputusan ini juga tidak wajar dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 89 2A yang mengatakan bahawa TRM sepatutnya diambil daripada kawasan tanah yang belum dibangunkan atau dicucuk tanam.

“Secara tidak langsung bermaksud tanah yang bergeran atau yang ada kepentingan terus kepada masjid tidak wajar dimasukkan dalam TRM. Kita suka keluasan TRM ini bertambah tapi janganlah dengan ambil tanah wakaf yang diberikan oleh individu untuk tujuan kepentingan agama dan masjid.

“Adalah jauh lebih baik untuk ambil tanah kubur serta tanah rizab sungai, masukkan semua sekali jadikan sebagai TRM untuk penuhi kuota.

“Kita mohon sangat-sangat supaya kerajaan negeri banyakkan lagi tanah rizab Melayu, tanah yang belum diwartakan atau tanah yang sudah diceroboh atau tanah yang tidak ada kepentingan,” tegasnya. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *