September 3, 2024
#UTAMA

Jutawan hartanah Azlan Al Amin sayu imbau kenangan Tadika Kg Gong Tok Ter

BESUT – Jutawan hartanah yang juga seorang dermawan terkenal, Datuk Mohamad Azlan Al Amin tampil mengimbau kembali memori memulakan zaman prasekolahnya di Tadika KEMAS Kampung Gong Tok Tor, Jertih di sini.

Mohamad Azlan memulakan zaman pra sekolahnya di tadika ini sekitar tahun 1993.

Tidak lupa dengan jasa yang pernah ditaburkan oleh tadika berkenaan, jutawan itu tampil menyantuni dan menyampaikan sedikit duit raya kepada anak anak yang belajar di sini baru-baru ini.

“Walaupun sibuk sana sini, apabila saya di beritahu adanya majlis di sini terus saya sampai. Sempatlah saya menyantuni guru-guru dan anak-anak yang belajar di sini.

“Untuk makluman Haji Nawang dan isterinya, Hajah Ma serta kak Ema mahupun cikgu Na bersama ustazah adalah antara yang menjadi tulang belakang yang sangat prihatin dalam mengambil berat tentang tadika ini. Pelajar pelajar pra dijaganya penuh kasih sayang sebagaimana anak anak mereka sendiri. Hanya Allah yang mampu membalas jasa mereka semua.

“Inilah tadika tempat saya memulakan pendidikan pra sekolah pada tahun 1993 dahulu.Bila kembali semua ke sini sekarang, hati terasa sebak. Pelbagai kenangan zaman kanak kanak menerpa ingatan. Ada kawan kawan yang dulunya pernah bersama belajar di sini namun sudah meninggal dunia.

“Antaranya arwah Riduan Mustafa, arwah Asmawi Aziz, dan arwah Emi Emelia, hati saya menangis dan sayu mengenangkan semua kenangan bersama mereka. Al Fatihah buat insan-insan ini.

“Begitulah hidup ini, semuanya tidak kekal, kita semua akan pergi jua. Moga Allah rahmati roh kawan kawan ku yang sudah kembali kepadaNya, aku pasti akan menyusul mu duhai teman,” katanya kepada MalayaDailyToday.

Datuk Mohamad Azlan Al Amin

Dalam pada itu, Mohamad Azlan yang banyak melalui liku-liku dan cabaran dalam hidup sehingga berjaya pada hari ini menitipkan kata-kata nasihat kepada anak-anak yang belajar di tadika dan kepada semua secara keseluruhan.

“Pendidikan amat penting kerana ilmu pengetahuan tidak dapat dibeli. Malah hanya dengan pendidikan, ia dapat mengubah nasib kita.Seperti saya dahulu juga hidup susah, namun dengan pendidikan serta tekad yang tinggi untuk belajar bersungguh-sungguh, ia mampu mengubah hidup saya sehingga berjaya seperti sekarang.

“Justeru pendidikan boleh mengubah hidup kita untuk berjaya dan kaya, tetapi tanpa pendidikan kita yang kaya pun boleh menjadi miskin, pada anak anak kecil yang masih belajar di sini, saya doakan kejayaan buat mereka. Semoga membesar menjadi insan berguna,” ujarnya dengan nada emosi. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *