September 14, 2024
#UTAMA

Gereja dan paderi pula tarik balik kes semakan kes kalimah Allah

KUALA LUMPUR – Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) dan paderinya, Jerry A. Dusing bertindak menarik balik semakan kehakiman penggunaan kalimah Allah yang difailkan pada sekitar Disember 2007.

Tindakan ini dipercayai selepas kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan dakwaan itu hari ini kepada media.

Gereja SIB dan Jerry memfailkan semakan kehakiman terhadap KDN dan kerajaan berhubung hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan keagamaan mereka.

Mereka telah memohon diisytiharkan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan kalimah Allah dalam injil Kristian terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dan dalam semua penerbitan dan bahan keagamaan mereka.

Selain itu, SIB dan paderi itu mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.

Buku itu kemudian dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Jan 2008.

Pada 18 April lalu, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka. -MalayaDailyToday

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *